BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 14 Februari 2010

Marhaban Ya HabibAllah


Bulan kelahiran Junjungan Nabi SAW menjelang lagi. Sebagai umat baginda, sewajarnya kita bersungguh-sungguh bersyukur atas kelahiran baginda yang menjadi pembimbing dan penunjuk kita ke arah jalan yang diredhai Allah SWT. Menjadi umat Junjungan Nabi SAW adalah satu nikmat besar yang dianugerahkan kepada kita. Nian besarnya nikmat ini sehingga nabi besar Bani Israil, Sayyidina Musa AS, memohon untuk dijadikan sebagai umat Baginda Muhammad SAW. Maka kenapa kita jarang atau mungkin tidak mensyukuri nikmat ini ? ... Allahu .. Allah.

Marilah kita mempertingkatkan lagi kecintaan dan kerinduan kita kepada Junjungan Nabi SAW bersempena dengan bulan kelahiran baginda ini. Kita penuhkanlah masa kita yang banyak lapang itu dengan memeriahkan majlis-majlis mawlid, majlis-majlis di mana Junjungan Nabi SAW menjadi tajuk utama, majlis - majlis di mana sholawat dan salam dilantunkan, majlis-majlis di mana sirah dan madaih kepada Junjungan Nabi SAW dibacakan, majlis-majlis di mana akhlak dan keperibadian serta sunnah baginda diceritakan untuk dijadikan panduan. Mudah-mudahan kecintaan kita bertambah, dan terlebih penting moga kita mendapat kecintaan Baginda Muhammad SAW.

Tika kelahiran baginda
ke dunia nyata
zaman tersenyum gembira
seluruh alam bersukaria

Hanya Iblis durjana
dan syaitan - syaitan pengikutnya
bermuram duka

Kenapa pula antara kita
yang mengaku umat baginda
ada yang gusar serta duka
pabila melihat saudara-saudara seagama
menyambut gembira kelahiran baginda
memperingati kelahiran baginda
membesarkan kelahiran baginda
mentakzimkan kelahiran baginda
dengan sholawat atas baginda
dengan mendengar sirah baginda
dengan memuji-muja baginda
dengan menghayati sunnah baginda
Semuanya dengan penuh kesyukuran pada Yang Esa

Adakah telah terpedaya ia
dengan hasutan Iblis durjana
yang atas kelahiran baginda berdukacita ?

Pahala Bacaan - Habib Zain


Sekadar menambah khazanah ilmu berhubung hadiah pahala kepada orang mati. Agar kita mengetahui siapa yang menjadi panduan dan rujukan kita. Bagi yang merujuk kepada yang lain, terpulanglah, itu hak kamu. Kami tak suka menceroboh hak kamu, maka diharap kamu juga jangan menceroboh hak kami. Nukilan daripada fatwa al-Habib Zain bin Ibrahim hafizahUllah yang tercatat dalam "al-Ajwibatul Ghaaliyyah" halaman 108. Maka al-Habib ditanya sebagai berikut:-
Soalan: Adakah sesorang diharuskan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran dan zikir kepada orang-orang mati ?

Jawapan: Ya, perbuatan yang sedemikian itu (yakni membaca al-Quran dan zikir untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati) adalah harus. Menurut pandangan yang shohih lagi terpilih dalam mazhab, pahala bacaan tersebut dan lain-lain amalan badaniyyah (yakni amalan-amalan yang dilaksanakan oleh anggota badan semata-mata) sampai kepada mereka (yakni kepada arwah tersebut). Sesungguhnya terhasil bagi mereka dengan yang sedemikian itu (yakni dengan hadiah pahala tersebut) manfaat, samada sebagai kaffarah dosa (penghapus dosa), mengangkat darjat, diberi nur, diberi kegembiraan dan lain-lain ganjaran pahala dengan kelebihan Allah ta`ala.

Khamis, 14 Januari 2010

Gambar sekitar Majlis Bersama Guru Mulia al-Hafiz al-Musnid Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz di Baitul Qurra' Melaka
















Majlis Bersama Guru Mulia al-Hafiz al-Musnid Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz

1) Tarikh : 10 januari 2010 / 23 Muharram 1431 H
Tempat : Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor
Masa : 6 petang hingga 10 malam

2) Tarikh : 12 januari 2010 / 25 Muharram 1431 H
Tempat : Baitul Qurra, Sungai Udang, Melaka
Masa : 6 petang hingga 10 malam


Siapakah al-Hafiz al-Musnid Habib Umar???
- nama penuh beliau ialah Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin ‘Abdullah bin Abu Bakar bin ‘Aydrus bin Umar bin ‘Aydrus bin Umar bin Abu Bakar bin ‘Aydrus bin Hussain bin Syaikh Abu Bakar bin Salim bin Abdullah bin Abdurrahman bin ‘Abdullah bin Abdurrahman as-Saqqaf bin Muhammad Maula al-Dawilah bin ‘Ali bin ‘Alawi bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shahib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Ahmad al-Muhajir bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussain as-Sibt putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Tholib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Sayyidina al-Musthofa Muhammad s.a.w. Beliau adalah keturunan yang ke-39 daripada baginda al-Musthofa Nabi Muhammad s.a.w melalui salasilah Sayyidina Hussain as-Syahid bin Ali bin Abi Tholib RA.

Semenjak kecil lagi Habib Umar telah menghafal al Quran. Beliau merupakan seorang ahli hadis yang mencapai taraf al-Hafiz, iaitu telah menghafal lebih 100 000 hadis berserta sanad dan hukum matan. Beliau juga digelar dengan panggilan al-Musnid, iaitu orang yang mampu menghafal penuh setiap salasilah hadis sehingga Nabi Muhammad s.a.w. Beliau juga digelar al-Mufassir, iaitu ahli tafsir al-Quran yang menghafal setiap asbabulnuzul dan didukung dengan hadis-hadis yang sahih beserta asbabul wurudnya.

Habib Umar adalah seorang pendakwah dan ahli sufi yang telah menubuhkan sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang terkenal iaitu Darul Mustafa di Tarim, Hadramaut, Yaman. Beliau juga tersenarai di dalam "The 500 Most Influential Muslims" di nombor ke 33. Habib Umar merupakan guru yg amat dihormati al-Allamah al-Ustaz al-Fadhil Haji Zulkifli bin Haji Ismail, mudir Pondok Baitul Qurra' Wal Ilmi.

Kehadiran tuan / puan dialukan dan amat dialukan2 jika ada sumbangan kewangan bagi membiayai majlis ini. Sila panjangkan email ini kepada rakan Muslim di Melaka dan sekitarnya. Semoga kehadiran / sumbangan daripada anda mendapat kasih sayang Allah SWT .Sebarang sumbangan sila serahkan pondok Baitul Qurra atau hubungi Al Fadhil Ustaz Zulkifli sendiri.